Selangkah Lagi : JDT
- Toxidizer Black
- Feb 8, 2017
- 2 min read

Sayang sekali, selangkah lagi ke saingan peringkat asia kita kecundang. Namun penulis merasakan JDT dan bolasepak Malaysia sudah bergerak selangkah lagi kehadapan.
Johor Darul Takzim Fc hampir sahaja mencipta sejarah layak ke Asia Champion League namun hasrat itu dipadam oleh Gamba Osaka.
Gamba Osaka mudah menundukkan JDT 3-0 di laman mereka Stadium Suita. JDT dilihat kurang selesa bermain dalam cuaca sejuk memperlihatkan mereka terpaksa menggunakan Kit lengan panjang buat kali pertama musim ini.
Namun bukan itu yang akan kita kupas kali ini, disebalik kekalahan itu, sedarkah anda Liga kita sudah mula menunjukkan peningkatan?
Mahu tidak mahu, JDT adalah penanda aras liga bolasepak Malaysia pada ketika ini, satu kuasa yang sukar digugat. Tiga musim berturut-turut berada di kelayakan ACL dan setiap musim menampakkan peningkatan.
Kali pertama JDT mudah ditundukkan oleh kelab dari Thailand, Bangkok Glass Fc 3-0 di playoff 1. Musim berikutnya JDT sekali lagi tunduk pada kelab dari Thailand di playoff 1 menerusi penentuan sepakan penalti pada Muangthong United. Dan tahun ini JDT berjaya melangkah ke playoff 3 sebelum tunduk kepada kelab dari jepun itu, Gamba Osaka.
Ini adalah satu rekod yang positif dan merupakan sesuatu yang positif untuk liga kita dan bolasepak Malaysia secara amnya.
Lima tahun dahulu, tiada siapa yang menyangka kita akan bercakap secara kasual tentang pertemuan dengan kelab dari Jepun dan Thailand. Namun hari ini, landskap itu sudah berubah, kita sudah punya peluang untuk menyamai kualiti liga jiran kita iaitu Thailand manakala Jepun pula menjadi penanda aras yang lebih tinggi.
Jika beberapa tahun lalu kita hanya bercerita tentang prestasi Melbourne City, Kashiwa Reysol, Gamba Osaka dan kelab besar lain di dalam ACL misalnya, kelab-kelab ini seperti jauh sekali dari capaian tangan kita. Rasa seperti kita terlalu kecil untuk bersaing dengan mereka. Tetapi hari ini tidak lagi, disamping persaingan sihat di dalam Liga, Kelab-kelab di Malaysia sudah mula mengatur gerak untuk mencipta nama di pentas asia dan global.
Akhir kata, usah bersedih di atas kekalahan ini, ayuh kita bangkit mengatur satu lagi langkah untuk masa hadapan. – Ini padang kita, Ini liga kita, Ini tanah tumpah darah kita!
Comments