Faiz, Puskas dan Efek Magnus
- Toxidizer Black
- Jan 10, 2017
- 3 min read

Mengikut hukum efek magnus, ada daya yang bertindak ke atas silinder ataupun sfera yang berputar dengan halaju tinggi, daya tersebut bertindak dari sudut tertentu iaitu ke atas paksi di mana silinder ataupun sfera itu berputar, daya tersebutlah yang bertanggungjawab dalam menghasilkan lencongan apabila silinder atau sfera itu bergerak di udara.
Pada satu perlawanan Liga Super Malaysia, 16 Februari 2016, Pulau Pinang FA telah menerima kunjungan Pahang Fa yang agak terumbang ambing dalam saingan liga pada musim itu. Perlawanan itu berakhir dengan keputusan Pulau Pinang membelasah Pahang 4-1. Namun tiada siapa sangka salah satu gol yang dijaringkan oleh Penang Fa pada ketika itu ialah gol terbaik tahunan DUNIA bagi tahun 2016.
Faiz Subri, tenang sebelum mengambil sepakan dari sudut kanan penjaga gol pahang, Nasril Nourdin. Sebelum sepakan Nasril Nampak sudah bersedia menerima sepakan itu kerana sudut itu boleh dikatakan agak mustahil untuk menjaringkan gol secara direct. Pilihan yang ada mungkin adalah hantaran terus ke kotak penalti dan menanti kemahiran rakan sepasukan. Faiz subri menarik nafas, sepakan di ambil, nampaknya Faiz subri melepaskan sepakan direct, Namun Nasril sudah boleh mengagak bola itu disasarkan ke penjuru kanannya. Sedang bola itu di udara, Nasril bergerak sedikit memastikan dia berada pada kedudukan yang betul untuk menghalang bola itu daripada masuk ke penjuru kanan pintu gol. Namun, secara tiba-tiba bola itu berubah arah dan masuk ke penjuru kiri pintu gol Pahang.
Mata saya tidak silau, Bola Faiz tiba-tiba berubah arah – Nasril Nourdin, Penjaga Gol Pahang.
Benar, matanya tidak silau, beliau berada di kedudukan yang betul untuk menghalang bola itu, namun efek magnus menjadi faktor jaringan itu berjaya dilakukan.
Ianya bukan sesuatu yang mudah, Faiz Subri perlu menggunakan teknik yang betul. Bola itu perlu diberi putaran dengan halaju yang tepat. Ianya bukan juga ajaib, kerana putaran yang tepat ke atas bola mampu diperoleh dengan latihan sepakan yang betul dan dibuat berulang kali.
Rupa-rupanya selain pakar ‘knuckleball’ iaitu Safiq Rahim, kita juga ada pakar ‘Curveball’. Orang malaysia ramai yang berbakat, pemain bola Malaysia ramai yang berpotensi. Pemain kita sebaris pemain dunia yang lain. Buktinya?
Hari ini (10 Januari 2017, 2 pagi) Faiz Subri, Telah berjaya memenangi Trofi Anugerah Puskas.

Credit : Fifa
Anak Malaysia sebaris pemain ternama dunia, Anak Malaysia hadir di majlis yang sama dihadiri, Christiano Ronaldo, malah Sir Alex Ferguson pun ada di sana.

Faiz dan Sir Alex Ferguson
Namun, disebalik kejayaan ini, berapa banyak minda yang akan terbuka, berapa ramai yang akan sedar bahawa pemain Malaysia juga bagus, Liga Malaysia juga bagus, pasukan tempatan juga bagus. Ayuh kita mula berikan sokongan pada saingan bolasepak tempatan. Jika anda belum punya jersi bolasepak tempatan, pergi beli sekarang, jika anda belum punya pasukan pilihan, apa susah sokong sahaja pasukan yang mewaikili komuniti setempat anda.
Media perlu mengambil iktibar dari perkara ini, jangan ingat penyokong lupa, perlawanan di antara Pulau Pinang dan Pahang ini hampir sahaja tidak disiarkan secara langsung kerana setiap minggu di Malaysia secara purata kita hanya ada dua perlawanan yang disiarkan secara langsung. Hanya dua daripada lebih 22 perlawanan yang berlangsung setiap minggu (kecuali minggu rehat/cuti). Maknanya kita ada dua puluh lebih perlawanan lagi yang tidak disiarkan. Yang menyedihkan liga utama itu sendiri, siaran di televisyennya hanya cukup-cukup makan. Bagaimana jika ada jaringan yang menarik tetapi tidak disiarkan? Tiada juga peminat yang hadir untuk menyaksikannya? Bila ada peminat yang membuat live streaming tidak dibenarkan pula.
Media memainkan peranan yang cukup penting dalam mempromosikan liga, kelab dan bolasepak itu sendiri. Bukan sahaja siaran langsung malah rancangan seperti pre-match show, post-match show, highlight, goals of the week, Malaysian football community show, documentary, Debate dan rancangan aneka ragam bersama pemain juga patut diadakan dan dipopularkan. Jika hendak mengharap info daripada page fb dan website picisan seperti kami, susahlah.
Usahawan dan ahli korporat juga patut membuka mata, mungkin sudah tiba masanya anda membantu bolasepak tempatan. Alangkah ruginya anda, bayangkan anda menjadi penaja Pulau Pinang pada musim lalu, secara tidak langsung Faiz Subri telah membawa nama anda ke Zurich.
Akhir kata, mungkin sudah tiba masanya seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk mengangkat martabat bola sepak tempatan ke satu aras yang lebih tinggi. Siapa tahu, hasil usaha kita, suatu hari nanti kita berjaya layak ke World Cup, tidak salah bermimpi. Kepada Faiz Subri, Tahniah di atas anugerah Puskas, Anda adalah hero dan inspirasi rakyat Malaysia, semoga dengan kejayaan ini, Faiz dapat meningkatkan mutu permainan dan menjadi yang terbaik – Ini padang kita, Ini liga kita, Ini tanah tumpah darah kita!
Comments