Mentaliti Bodoh?
- Toxidizer Black
- Jan 2, 2017
- 2 min read

Beberapa hari lalu, bekas presiden KAFA iaitu Tan Sri Annuar Musa telah mengeluarkan satu kenyataan di laman facebook. Kenyataan yang tidak boleh diterima pakai oleh falsafah bolasepak moden.
‘Masa dah suntuk terutama utk urus import. Tanpa impot rasanya kita teruk kena belasah. Justeru saya cadang KAFA teruskan sign import dan saya usahakan dana utk import. Jgn yg terlalu mahal sudahlah. Saya perlu sedikit masa’
(Kenyataan ini diperbetulkan sedikit kerana ada kesalahan ejaan)
Demikian kenyataan yang dikeluarkannya, menyedihkan bagaimana seorang pemimpin yang berwibawa sepertinya boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini. Majoriti peminat bolasepak tanah air tidak setuju dengan mentaliti yang merosakkan sebegini. Mana tidaknya, kenyataan seperti ini seperti merendah-rendahkan mutu pemain tempatan. Jika benar pun mutu pemain tempatan tidak sebaik pemain import, bukan begini caranya hendak meluahkan. Mungkin lebih elok jika diganti frasa ‘dibelasah teruk’ dengan ‘sukar bersaing’. Ya, memang tanpa pemain import berkualiti, sesebuah pasukan itu sukar bersaing namun tidak mustahil jika taktikal dan semangat juang itu ada.
Jika anda masih ingat pasukan Lions 12, mereka tidak punya pemain import namun masih mampu menjadi pesaing utama. Buktinya mereka pernah menjulang Piala liga Super dan Piala Fa. Mereka percaya mereka memiliki keupayaan setaraf pemain-pemain import di Malaysia. Mungkin ada yang cuba menyangkal kerana keseluruhan pemain Lions 12 ialah pemain kebangsaan Singapura. Cuba anda fikir dan kaji semula dimana ranking Singapura ketika Lions 12 beraksi dalam liga super. Hakikatnya mutu pemain di Singapura, Malaysia malah Indonesia tidak jauh berbeza.
Alangkah baiknya dana untuk pemain import itu digunakan untuk baik pulih fasiliti atau untuk pembangunan di peringkat akar umbi. Sekiranya dana pasukan digunakan untuk sesuatu keperluan dan bukannya kehendak, mungkin Stadium Kelantan yang diwar-warkan oleh Tan Sri Annuar Musa beberapa tahun lalu sudah menjadi kenyataan. Hairan, Stadium milik Felda United pula yang siap dahulu malah stadium baru JDT juga tampak di landasan yang betul.
Jika dana seorang pemain import ialah Rm 3 juta (Hanya anggaran pemain bukan bertaraf bintang). Kita boleh lupakan pemain itu, sebaliknya gunakan dana itu untuk membina padang latihan rasmi artifisial atau asli dengan fasiliti tambahan yang lebih cantik dan selesa. Bukankah itu lebih baik? Cuba anda kaji semula, berapa banyak pasukan di Malaysia ini mempunyai padang latihan rasmi milik kelab?
Akhir kata, jika saya seorang pemain, saya akan terasa hati mendengar pernyataan sebegitu dari seorang pemimpin. Bukankah seorang pemimpin yang baik harus mempercayai kredibiliti anak-anak buahnya? – Ini padang kita, Ini liga kita, Ini Tanah tumpah darah kita!
Comentarios