Ultras : Kenali Pejuang Ini
- Toxidizer Black
- Dec 18, 2016
- 2 min read
Apabila anda ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, anda dapat melihat pelbagai jenis penyokong. Ada yang berjersi kelab, ada pula yang berjersi kelab lain, ada yang hanya duduk diam, ada juga yang tidak berhenti memekik. Terdapat pelbagai jenis penyokong, tetapi pastinya anda pernah melihat satu kelompok penyokong yang berdisiplin cara sorakannya, mengibarkan bendera dan panji, menggunakan tifo dan dipimpin oleh individu yang bergelar ‘Capo’.

(Menakutkan bukan?)
Ya, mereka lah ultras, namun percayakah anda sekiranya saya mengatakan, jika anda hendak menyertai ultras anda tidak perlu membayar yuran ahli? Percayakah anda mereka ini tidak dibayar?
‘Pure Passion’ ialah bahan bakar bagi semangat mereka, segala persiapan dibuat secara sukarela dan gotong royong malah mereka menggunakan duit sendiri. Mereka inilah yang berpegang teguh pada kata kata ‘andai kelab ini hanya tinggal seorang penyokong, aku akan pastikan penyokong itu ialah aku, andai hari esok kelab ini berkubur, akan kukibarkan panji ini selagi mampu’.
Tetapi ramai yang tidak berapa suka dengan Ultras, kerana menurut mereka, Ultras hanyalah segerombolan penyokong nakal yang hanya tahu berbuat bising.
Sekiranya anda merupakan jenis orang yang sensitif, anda mungkin akan mudah tergugat dengan aktiviti-aktiviti budak-budak ultras ini. ‘Pyro show’ amat sinonim dengan Ultras tidak kira dimana sahaja di dunia ini. Ianya membuatkan suasana perlawanan menjadi lebih epik dan merupakan perang psikologi yang amat berkesan namun di Malaysia Pyro show di dalam stadium adalah tidak dibenarkan dan kelab yang terlibat bakal dikenakan denda.Oleh itu, Corteo, Poznan, Tifo dan Chant lah yang menjadi senjata mereka membakar semangat pemain.
Terdapat beberapa kumpulan Ultras di malaysia. Antaranya :
Boys of Straits
Elephant Army
Silver State Ultras
Ultras Kedah
Ultrasel
Brigate Gialloblu
Ultras Nogori
North Borneo Ultras
Gallore buceros
Ultras Taming Sari
Ultras Panthers
Ultras Tranung
Kula Lumpur Ultras
The Red Mania
Kebanyakan ultras ini dikatakan sub-group atau bernaung di bawah nama besar dan lebih megah yang sudah pasti anda kenali iaitu Ultras Malaya (UM07). Siapa yang tidak kenal Ultras Malaya?

(Ultras Malaya yang setia)
Penyokong setia skuad kebangsaan, namun berbeza pendapat dengan FAM. Mula mendapat perhatian sekitar tahun 2007. Pada mac 2014, taring mereka ditunjukkan pada perlawanan persahabatan menentang Filipina di Selayang apabila mereka melakukan 30 minutes of silence yang diakhiri dengan ‘smoke and flare show’ simbolik kegagalan kepimpinan 30 tahun FAM pada ketika itu. Namun Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 ketika skuad Kebangsaan menentang Arab Saudi menjadi medan kemuncak pertelagahan dua pihak ini di Shah Alam. ‘Pyro show’ pada minit 88 menjadi simbolik artikel 88 yang menghalang suara kritikan di dalam FAM. Amukan mereka pada kali ini turut mendapat liputan antarabangsa termasuk oleh BBC dan Daily Mirror.

(Amukan Ultras Malaya)
Jika bolasepak Malaysia merupakan Kota Melaka, Ultras Malaya ialah Hang Jebat si penderhaka. Mengaku taat setia, namun akhirnya dia yang derhaka. Media pada ketika itu tidak berhenti menghentam mereka, mereka dituduh sebagai lalang dan memalukan. Namun sejarah seperti berulang semula apabila hanya segelintir yang bertanya mengapa Jebat derhaka. Mereka dikatakan tidak berpelajaran kerana tidak menggunakan medium yang betul. Namun benarkah mereka ini hanya kumpulan budak nakal yang tidak berpelajaran? Atau adakah benar mereka ini hooligans?
Butakah kita tidak dapat melihat simbolik?
Angkuhkah kita tidak mendengar keluhan?
Sekadar soalan retorik untuk kita renungkan bersama -Ini padang kita, Ini liga kita, Ini tanah tumpah darah kita
Comments